Sunday, February 13, 2011

.:VALENTINE'S DAY:.


Amalan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine’s Day) setiap 14 Februari jelas bercanggah dengan syara’. Apa lagi hari itu mempunyai unsur kepercayaan agama Kristian dan menjurus pula kepada kerosakan akhlak yang parah.

Islam menilai cinta sebagai sesuatu yang agung dan suci. Namun, cinta dinilai begitu murah oleh banyak orang hari ini. Mudah saja mereka menggunakan istilah cinta untuk menampakkan yang haram seperti O.K. Inilah akibatnya apabila nafsu sudah bermaharajalela. Nafsu itu disangka cinta!

Sisi Gelap

Hari Kekasih seperti mana perayaan-perayaan lain turut mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Saya berpendapat pada hari ini sudah ramai yang mengetahuinya cuma sebahagiannya sengaja mengambil sikap acuh tidak acuh atau buat-buat tidak tahu.

Versi 1

Ia diraikan sempena memperingati paderi Kristian bernama Pedro St. Valentino. Dia aktif menyebarkan agama Kristian pada zaman pemerintahan Rom yang pada masa itu diperintah Claudius II.

Raja Rom itu memenjarakan orang Kristian kerana mereka mengamalkan agama yang bertentangan dengan agama kuno Romawi. Oleh sebab Valentine salah seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Namun sepanjang di dalam penjara pun, Valentine tetap menyebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan. Raja Rom mengetahui kegiatan Valentine dan memerintah Valentine dihukum bunuh pada 14 Februari.

Lantaran itu, orang Kristian memandang mulia kepada Valentino kerana kesanggupan mengorbankan nyawa kerana kepercayaan, kecintaannya terhadap syiar agama Nasrani iaitu agama Kristian.

Terdapat sumber menyatakan, ketika St. Valentine dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan, sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh.

Beliau rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan From your valentine (Daripada Valentinemu).

Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari pada setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati hari kematian St. Valentine, paderi kesayangan mereka.

Versi 2

St. Valentine dibunuh kerana mengahwinkan ramai pemuda secara rahsia sedangkan undang-undang Rom pada ketika itu menghalang pemuda-pemudanya berkahwin dan berkeluarga. Mereka dikerahkan untuk menjadi tentera sahaja. Perbuatan ini mendatangkan kemarahan Raja Rom dan ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung pada 14 Februari 269 Masihi.

Versi 3

Ia dirayakan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol. St. Valentine merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu.
Dengan jasanya itu, Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu sebagai hari kasih sayang kerana mereka menyangka Islam adalah agama yang zalim.

Serangan Pemikiran

Hari ini kita menyaksikan umat Islam dibantai secara terang-terangan oleh musuh-musuh yang telah lama menyimpan dendam. Hari ini juga kita tidak perlu lagi meredah belantara mencari musuh kerana musah sudahpun berada bersama-sama kita. Kita telah diserang dari pelbagai arah sama ada secara sedar atau tidak.

Musuh hari ini lebih licik membaca kelemahan kita. Mereka sedar kita tidak mungkin tumbang selagi hati kita masih erat berpegang pada al Quran dan as Sunnah.

“Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.” (HR. Imam Malik)

Maka, musuh berusaha mengadakan penyimpangan untuk memesongkan umat dari jalan tersebut. Penyimpangan itu menjauhkan umat daripada dua sumber kekuatan tadi. Sungguh, penyimpangan itu terlalu banyak dan berada di mana-mana sahaja dan salah satunya adalah dianjurkan Hari Kekasih yang merupakan serangan pemikiran ke atas umat.

Pandangan Islam

Sebagai seorang muslim tanyakanlah pada diri kita sendiri, apakah kita akan mengambil begitu saja sesuatu yang jelas bukan bersumber daripada Islam?

“Dan janglah kamu megikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya”. (al-Isra’: 36)

Dalam Islam kata “tahu” bererti mengetahui dengan seluruh pancaindera yang dikuasai oleh hati. Pengetahuan yang sampai pada taraf mengangkat isi dan hakikat sebenarnya. Bukan hanya sekadar melihat atau mendengar. Oleh sebab itu, Islam amat melarang tabiat yang mengikut suatu kepercayaan lain tanpa didahului ilmu yang disebut taqlid membuta tuli.

“Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama), maka dia termasuk kaum (agama) itu.” (HR. Abu Dawud)

“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka dan mereka tidak lain hanyalah berbohong (terhadap Allah).” (al-An’am : 116)

Cukuplah Dengan Ar-Rahman, Ar-Rahim

Tidak perlu kita berasa takjub dan cemburu dengan upacara dan bentuk kasih sayang agama lain. Bukankah Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih? Bukan hanya sehari, tetapi selama-lamanya. Bukan pula diselubungi dengan hawa nafsu, tetapi terlalu agung mengatasi segala cinta.

Kerana Allah Itu Ar-Rahman, maka seluruh manusia dapat hidup di muka bumi dengan nikmat dan rezeki yang sesetengahnya dikuniakan dengan melimpah ruah. Disebabkan Allah itu Ar-Rahim, maka orang-orang beriman dikuniakan balasan agung meliputi dunia dan akhirat.

Setiap hari kita menyebut kalimah Bismillah hirrahman nir rahim. Baik sebelum makan, mahupun ketika sembahyang. Jika kita makan lima kali sehari, bermakna sekurangnya-kurangnya kita menyebut kalimah itu sebanyak lima kali. Jika kita sembahyang lima kali sehari, bermakna kita menyebutnya berpulu-puluh kali lagi. Itu tidak termasuk kalau kita menyebut nama kalimah tersebut ketika membuka pintu kereta, memandu atau sebelum memulakan apa-apa pekerjaaan.

Peliknya mengapa sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim itu tidak pula menjadi amalan, slogan yang mendarah daging dalam diri kita? Sebaliknya, pihak lain pula yang menggunakannya untuk menjaja konon agama mereka dipenuhi kasih sayang.

“Wahai Ar-Rahman Ar-Rahim, wahai Tuhan yang mencurahkan kasih, sempurnakanlah iman kami dan ampunilah dosa kami, sesungguhnya engkau berkuasa atas segala sesuatu.”

Wallahua’lam.

sumber:
http://kalamfitrah.blogspot.com/2011/02/hari-kekasih-kasih-yang-tidak-bernilai.html